Sunday, August 21, 2016

MASUM 2016 - Part 1 (Top 10 Starting Rank)


Nampaknya sungguh banyak acara sukan yang berlansung dalam bulan Ogos ini. Kejohanan Catur MSSM baru sahaja selesai beberapa hari yang lalu. Kejohanan ini dalam radar GiLoCatur kerana ia merupakan peringkat tertinggi iaitu peringkat kebangsaan di mana anak-anak GiLoCatur, Alhamdulillah, sertai bermula dari tahun 2009.  Selain itu, Sukan Olimpik yang diadakan setiap empat tahun sekali sudah sampai ke penghujungnya dengan Malaysia mendapat pencapaian terbaik dengan empat (4) pingat Perak dan satu (1) pingat Gangsa. GiLoCatur agak terkilan kerana Malaysia masih belum berjaya mendapat pingat Emas sulung dalam Sukan Olimpik walaupun mendapat tiga peluang keemasan.

Esok pusingan Pertama Kejohanan Catur MASUM akan bermula di UnisZA. Acara sukan ini juga mendapat perhatian GiLoCatur kerana disertai oleh dua orang anak GiLoCatur iaitu Fikri dan Anis.

Senarai nama peserta Kejohanan Catur MASUM telah pun dipublish di chess-results.com.

LELAKI

Seperti yang pernah GiLoCatur tulis sebelum ini, Kejohanan MASUM adalah satu kejohanan di antara universiti-universiti ie institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia. Fasa kedua yang melibatkan lapan (8) jenis sukan termasuk catur dijadualkan dari 20 hingga 27 Ogos 2016 di Terengganu. 

Berikut adalah senarai Top 10 Starting Rank bagi acara Lelaki.

kategori Lelaki
klik di sini untuk senarai penuh

Dengan rating 1906, Nabil Azman yang mewakili pasukan UiTM merupakan pemain teratas dalam senarai Starting Rank bagi kategori Lelaki. Tiga orang rakan pasukannya juga berada dalam senarai 10 Teratas iaitu Ali Chor di tempat Kedua, Fikri di tempat Kelima dan Hazaffri di tempat Kelapan. Pemain-pemain pasukan UiTM ini bakal dicabar pemain-pemain seperti Jun Feng (Ketiga) dan Amin Mohd Noor (Keempat). Kedua-dua pemain ini mewakili pasukan UKM.


PEREMPUAN

Berikut adalah senarai Top 10 Starting Rank bagi acara Perempuan.

kategori Perempuan
klik di sini untuk senarai penuh

Nabila Azman dari Pasukan UiTM merupakan pemain di senarai Teratas dengan rating 1866. Nabila sudah tidak asing lagi di kalangan komuniti catur Malaysia kerana telah mendominasi kejohanan catur MSSM. Nabila bakal dicabar oleh rakan sepasukan catur Olimpiad Malaysia, Alia yang mewakili pasukan UM. Dengan rating 1849, Alia di tempat Kedua 10 Senarai Teratas bagi kategori Perempuan. 

Mengikut pengamatan GiLoCatur, jika pasukan UKM merupakan pencabar utama dalam kategori Lelaki, pasukan UiTM yang diketuai Nabila bakal mendapat tentangan sengit dari pasukan UPM yang diketuai oleh Ruby Kwan (tempat Ketiga) dan Pavitranayagi (tempat Kelima) selain pasukan UM dan pasukan UIA yang diketuai oleh Nurul Najmi (tempat Keempat).

Memang tidak dinafikan, sukan catur membabitkan penglibatan ahli keluarga. Dalam Kejohanan Catur MASUM edisi kali ini, di antara fakta-fakta menarik yang berkenaan adalah seperti berikut.

Pasangan adik beradik Azman iaitu Nabil dan Nabila dari Pasukan UiTM mengetuai Senarai Teratas. Selain mereka, pasukan UiTM juga diwakili satu lagi pasangan adik beradik iaitu pasangan adik beradik Saleh, Fikri dan Anis. Malah coach mereka, Nor Azmi disertai oleh anak lelakinya Mubin (tempat Ketujuh) yang mewakili pasukan Universiti Malaysia Perlis. Begitulah uniknya sukan catur yang merapatkan hubungan kekeluargaan dan juga persahabatan.


Semenjak GiLoCatur mengikuti secara dekat Kejohanan Catur MSSM dari 2009 hingga sekarang, pemain-pemain berikut telah dirakam dalam lensa GiLoCatur. Mereka yang sebelum ini telah mewarnai Kejohanan Catur MSSM sewaktu zaman persekolahan, bakal mewarnai pula Kejohanan Catur MASUM 2016 bersama lain-lain peserta.


ALL THE BEST kepada semua peserta Kejohanan Catur MASUM 2016. Semoga maju sukan catur terutamanya di peringkat universiti Malaysia.


Alia - MSSM 2011

Nabil- MSSM 2011

Nabila MSSM 2011

Fikri- MSSM 2012

Jun Feng- MSSM 2012

Fikri & Jun Feng - MSSM 2012

Pavitranayagi - MSSM 2012

Anis Fariha - MSSM 2015

No comments: