Saturday, May 28, 2011

Kejohanan Catur MSSM 2011 - Analisa Pungutan Pingat 2010


Cuti sekolah pertengahan penggal selama dua minggu telah pun bermula. Ramai yang seronok. Datuk dan nenek di kampung pun ikut seronok kerana cucu-cucu mereka akan datang menjenguk. Ibu bapa terutamanya para guru juga ikut seronok kerana boleh pulang bercuti di kampung. Tetapi tidak semua begitu kerana ada yang terlibat dengan sukan MSSM termasuk sukan catur yang akan berkampung selama hampir seminggu dari Isnin ini sehingga 4 hb Jun. 

Jika tahun lalu atlit-atlit catur berkampung di Hotel Putra Palace, Perlis tahun ini mereka akan berkampung di Hotel Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Mengikut congakan GiLoCatur, kira-kira 500 atlit dan 200 pegawai akan berada di Hotel Tanjung Bungah bagi mencari juara dan para pemenang bagi Dua Belas kategori yang dipertandingkan. Jumlah ini tidak termasuk dengan para ibu bapa yang datang memberi sokongan kepada anak-anak mereka.

Banyak persoalan yang bakal terjawab nanti setelah usai Kejohanan Catur MSSM 2011. Berjayakah negeri Selangor mempertahankan "overall champion" yang dimenangi tahun lepas? Atau mampukah tuan rumah Pulau Pinang merampasnya untuk edisi kali ini? Siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara Individu bagi setiap enam kategori - L12, L15, L18, P12, P15 dan P18 yang dipertandingkan? Mampukah Pulau Pinang mengulangi prestasi tahun lepas memenangi pingat Emas terbanyak? 

Mari kita analisa pungutan pingat atau medal tahun lepas.

Kategori Bawah 12 Tahun


Selangor cemerlang bagi acara Individu manakala Pulau Pinang pula hebat bagi acara Berpasukan setelah masing-masing memenangi pingat Emas bagi kedua-dua kategori lelaki (L12) dan perempuan (P12). Yeoh Li Tian dan Nur Najiha, juara Individu B12 masih lagi berusia bawah 12 tahun. Adakah mereka akan mempertahankan kejuaaran mereka? Sudah pasti Selangor memerlukan khidmat mereka berdua untuk menyumbangkan dua pingat Emas.

Kategori ini didominasi oleh tiga buah negeri - Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang, setelah memenangi 10 dari kesemua 12 pingat. Adakah dominasi ini akan berterusan? Relakah negeri-negeri lain melihat dominasi ini berterusan? GiLoCatur melihat negeri--negeri lain sudah mula memperhebatkan "chess development" mereka. Kejohanan-kejohanan catur juga sudah semakin banyak diadakan selain di lembah Kelang. Ini sangat penting bagi melahirkan lebih banyak pemain catur yang berkualiti dan mampu menjulang negara.    

Kategori Bawah 15 Tahun


Pulau Pinang juga unggul bagi acara Berpasukan bagi kategori B15 setelah menang kedua-dua pingat Emas. Sementara Wilayah Persekutuan dan Selangor masing-masing menjuarai kategori lelaki dan perempuan. Sudah pasti tahun ini muka baru yang akan dinobatkan sebagai juara bagi kategori Individu kerana kedua-dua Yeap Eng Chiam dan Amira Syahmina Zullkafli telah melebih umur 15 tahun. Tahun ini mereka berdua berada dalam kategori B18 (bawah 18 tahun). Adakah naib juara tahun lepas pula yang akan bergelar juara?

Kategori Bawah 18 Tahun

Kategori B18 tahun lepas agak berbeza dari B12 dan B15 kerana empat negeri berbeza  selain Selangor, WP dan Pulau Pinang yang memenangi pingat Emas. Mampukah Sabah mempertahankan juara L18 yang disandang Jeppy Tewelu  tahun lepas? Melaka mungkin boleh pertahankan pingat Emas P18 kerana penyandangnya Alia masih ada. Bagaimana pula dengan pasukan L18 Perak dan P18 Johor? GiLoCatur tidak pasti samada "team member" pasukan tahun lepas masih ada atau tidak? 

Kita tunggu sehingga kejohanan sampai ke penghujungnya. Sabtu 4 hb Jun merupakan hari penutup dan penyampaian hadiah. Tetapi sayangnya GiLoCatur tidak dapat hadir di upacara tersebut. GiLoCatur ingin mengucapkan ALL THE BEST kepada semua atlit-atlit catur di Kejohanan Catur MSSM 2011 terutamanya pasukan Negeri Selangor yang juga disertai oleh anak-anak GiLoCatur.

No comments: